Sunday, September 9, 2012

Restoren Teratai Seremban 2 Meraikan Anak-anak YAUMI


 Pada 8hb Ogos 2012 bersamaan dengan 20 ramadhan 1433H pihak pegurusan Restoren Teratai yang terletak di Seremban 2 telah sudi meraikan anak-anak Yaumi dengan jamuan berbuka puasa. Pengurus restoren tersebut iaitu encik Kamar Azman amat perihatin kepada golongan miskin dan ibu tunggal. Beliau telah menyatakan hasrat beliau untuk meraikan golongan miskin ini kepada seorang kawan karibnya iaitu encik Idris Said yang juga salah seorang kenalan pengasas Yaumi Dr(H) Mahani. Lantas encik Idris yang menjalankan perniagaan menyewa peralatan PA sistem dan juga selaku 'event organiser' menghubungi umi untuk menampaikan hasrat kawan baik itu.Bagai pucuk dicita ulam mendatang, tawaran itu disambut dengan rasa penuh kesyukuran oleh pihak Yaumi. Lalu pada jam 5.00pm sebuah bas telah datang ke Pangsapuri Seri Perdana untuk menjemput kami.


 Umi memulakan majlis dengan ucapan alu-aluan dan nasihat kepada
anak-anak Yaumi dan para hadirin

 Encik Idris memimpin bacaan selawat dan zikir istighfar bersama hadirin
sementara menunggu masuk waktu berbuka



 Puan Zana selaku sukarelawan Yaumi membantu meyeduk nasi
kepada anak-anak Yaumi




 Ahli AJK surau berdekatan juga dijemput untuk bersama-sama
berbuka puasa di majlis tersebut
Puan Seti Maimunah melayan remaja puteri Yaumi menikmati hidangan


Dari kanan: Encik Idris, Dr(H)Ruslan dan Encik Kamar Azman

Solat Maghrib di surau berdekatan dengan Restoren Teratai


Putera-puteri Yaumi menghiburkan para hadirin dengan mengalunkan 3 buah nasyid


Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Dr(H)Mahani. Beliau mengajak para hadirin untuk sama-sama meningkatkan takwa kepada Allah swt dan membanyakkan amalan ibadah terutamanya bersedekah kerana dibulan ramadhan ini Allah akan menggandakan pahala orang-orang yang beribadah dengan berlipat kali ganda berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Seterusnya majlis diisi dengan bacaan selawat keatas nabi saw serta zikir istighfar yang dipimpin oleh encik Idris. Selepas berbuka, solat maghrib berjemaah di surau berdekatan para hadirin dihiburkan dengan alunan tiga buah nasyid oleh putera-puteri Yaumi. Pihak Yaumi mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengurus restoren encik Kamar Azman diatas kesudian beliau untuk menundang kami semua.


Anak-anak putera Yaumi bersalaman dengan encik KamarAzman sebelum pulang


"A thorn among the roses" Para sukarelawan Yaumi ceria bergambar bersama encik KamarAzman

Bergambar beramai-ramai sebelum naik bas untuk balik kerumah


















Friday, September 7, 2012

Majlis Berbuka Puasa Anjuran Kastam Seremban Ramadhan 2012


 Bulan ramadhan adalah bulan yang penuh berkat. Kedatangannya saban tahun amat dinantikan oleh seluruh kaum muslimin diserata dunia. Pahala amalan dibulan ini digandakan oleh Allah berlipat kali ganda. Dibulan ini juga terdapat suatu malam yang terlebih baik dari seribu bulan..itulah dia malam Lailatulqadar. Bersempena dengan kedatangan bulan ramadhan 1433 hijrah pihak Yaumi telah menerima banyak jemputan untuk berbuka puasa dan penyampaian bantuan untuk anak asnaf, anak yatim dan golongan ibu tunggal dan warga emas miskin. Pertamanya yang sudi menjemput kami kali ini ialah pihak Ibupejabat Kastam Diraja Malaysia Seremban, Negeri Sembilan.Majlis berbuka puasa ini telah diadakan pada 31/7/2012. Pihak kastam telah menjemput kami yang seramai 45 orang dengan menaiki bas kastam dari perkarangan Pangsapuri Seri Perdana, Paroi pada jam 5.30pm. Rombongan kami terdiri dari 10 orang warga emas, 10 orang ibu tunggal, 20 orang anak yatim dan anak asnaf serta diiringi oleh 5 orang sukarelawan Yaumi.
 

Timbalan Ketua Pengarah Kastam(Perkastaman/Cukai Dalam Negeri) Dato' Shaharudin Bin Ibrahim

Pengarah Kastam Seremban iaitu Tuan Syed Mohri Bin Syed Abu Bakar


Anak-anak Yaumi tekun mendengar ucapan 

 Majlis bermula pada jam 6.00pm dengan dimulai dengan kata aluan oleh Pengarah Kastam Seremban iaitu Tuan Syed Mohri Bin Syed Abu Bakar, kemudian disusuli pula oleh ucapan Timbalan Ketua Pengarah Kastam(Perkastaman/Cukai Dalam Negeri) Dato' Shaharudin Bin Ibrahim dan sterusnya beliau merasmikan majlis berbuka puasa. Acara diteruskan dengan penyampaian sumbangan kepada anak yatim/anak asnaf, ibu tunggal dan warga emas Yaumi yang telah disampaikan oleh Dato' Shaharudin Bin Ibrahim. Sementara menunggu masuknya waktu berbuka puasa majlis telah diisi dengan sedikit tazkirah serta alunan bacaan Alquran oleh salah seorang pegawai kastam Seremban.

Ibu tunggal Yaumi
Sebahagian dari Warga emas Yaumi
Dr(H) Mahani atau Umi sedang menerima cenderahati dari Timbalan Ketua Pengarah Kastam
Puan Amrah mewakili warga emas Yaumi menerima sumbangan
Anak-anak Yaumi berbaris untuk menerima sumbangan

Tiba masanya waktu yang dinanti iftar
Selepas berbuka puasa kami telah bersolat maghrib berjemaah dengan para hadirin. Ini diikuti dengan solat Isyak dan solat terawih serta sedikit jamuan moreh. Pihak Yaumi mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Kastan Diraja Seremban diatas kesudian mereka menjemput Yaumi. Sumbangan duit yang diberi telah membantu mereka untuk membeli baju raya dan membuat persiapan raya.


Solat berjemaah selepas berbuka puasa
Keriangan jelas terpancar diwajah anak-anak Yaumi selepas majlis tersebut

Monday, January 24, 2011

Secebis Kisah Yang Ku Temui Di Sekeliling Ku.

Anak-anak Yaumi sedang tekun mendengar pesanan dan tarbiyah yang disampaikan oleh Umi

Pernah disuatu hari ketika aku berjalan-jalan disini lalu aku terserempak dengan seorang anak kecil yang agak kurus badannya sedang menjinjing sebuah bungkusan plastik. Lalu aku bertanya kepada anak kecil itu apa yang dibawanya. Lalu dia menjawab dia membawa sedikit beras yang baru dibelinya dari kedai runcit berdekatan. Aku anggarkan beras itu hanya dalam berat 1 kilo. Katanya sebanyak itu sahajalah yang mampu dibeli oleh keluarganya yang seramai enam orang, bila habis.. beli lagi 1 kilo. Begitulah miskinnya keluarga ini, ibarat kais pagi makan pagi,kais petang makan petang.

Dihari yang lain aku melintasi sebuah rumah yang penghuninya ku tahu adalah salah seorang anak yaumi. Ku lihat rumahnya masih gelap tidak dinyalakan lampu sedangkan hari semakin gelap. lalu aku bertanya kepada anak itu, mengapa tidak dinyalakan lampu? Lalu dia menjawab bahawa rumahnya sudah seminggu bekalan elektrik dipotong kerana ayahnya tidak mampu membayar bil. Katanya lagi ayahnya kebelakangan ini tidak dapat bekerja kerana mengidap sakit jantung. Lalu aku meminta bil elektrik rumahnya agar dapat aku mohon bantuan dari pihak baitulmal supaya rumah mereka dapat diterangi cahaya lampu kembali.

Disuatu ketika yang lain pula, aku didatangi oleh seorang ibu tua yang kelihatan kurus tubuhnya,cengkung rongga matanya datang mengadu bahawa rumahnya sudah kehabisan beras untuk dimakan. Lalu aku membawanya ke pejabat baitulmal untuk memohon bantuan segera untuk membeli barangan makanan. Kasihan si ibu tua ini, dalam usianya yang semakin lanjut hidupnya terpaksa bergantung hidup kepada bantuan dari baitulmal dan kebajikan masyarakat. Seorang anak lelakinya mengalami masalah mental, seorang lagi mengalami masalah ketagihan dadah, manakala anak perempuannya yang sudah berkahwin pula hidup dalam kemiskinan juga. Inilah secebis kisah yang sering ku temui disekelilingku. Aku bersyukur kepada Allah swt, walaupun aku tidak kaya, hidupku tidaklah sesukar mereka.


Anak-anak kecil adalah seumpama kain putih, bagaimanakah rupa bentuk mereka dimasa akan
datang adalah bergantung kepada bagaimana gaya kita mencorakkan mereka diwaktu kecil

Ada waktu-waktunya dikala pihak Yaumi tiada peruntukan kewangan untuk membawa anak-anak ini keluar berjalan-jalan atau mengikuti mana-mana rombongan, namun program tarbiyah, latihan nasyid dan brainstorming tetap juga dijalankan. Kerana kalau ini tidak dilakukan secara istiqomah maka mereka ini remaja yang sedang membesar akan cepat hilang arah dan mudah terikut-ikut dengan pengaruh di sekeliling yang lebih menjurus kearah negetif. Kadang-kadang tarbiyah diadakan ditepi tasik, kekadang di serambi masjid dan selalunya di rumah pengasas Yaumi saja.



Kelihatan dibelakang tasik ini barisan rumah-rumah pangsa yang
menjadi rumah kediaman kepada sebahagian besar anak-anak Yaumi

Berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesanlah dengan kesabaran.

Bersabda Rasulullah s.a.w:


“Perumpamaan orang-orang Mu’min dalam saling kasih-mengasihi dan sayang-menyayangi, laksana sebatang tubuh, bila salah satu anggotanya mengaduh sakit, seluruh anggota yang lain sama-sama merasa demamnya dan berjaga malam.”


"Bukanlah dari golongan kami, siapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihani anak kecil kami."

Sabdanya lagi:


“Di antara amalan-amalan yang paling disukai oleh Allah s.w.t ialah menimbulkan kegembiraan dalam hati seorang Mu’min, melapangkan kesusahannya, menunaikan hutangnya atau memberinya makan waktu lapar.”



Wednesday, December 15, 2010

Lawatan Ke Taman Buaya dan Bandar Hilir Melaka

(Makluman:Lawatan rehlah ini telah dilakukan pada tahun 2009 tetapi atas sebab-sebab teknikal, lapurannya baru dapat diupload. Harap maaf).

Pada 16 Disember 2009 YAUMI telah melakukan lawatan rehlah ke negeri Melaka Bandaraya Bersejarah. Tujuan lawatan ini adalah untuk merapatkan hubungan sesama peserta-peserta dan sukarelawan YAUMI sambil menghiburkan anak yatim/anak asnaf. Amalan memberi makan serta menggembirakan anak yatim dan orang miskin sangat-sangat dianjurkan oleh rasulullah saw.

Dalam riwayat Imam Ahmad daripada Abu Hurairah: Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah mengadu mengenai hatinya yang keras, lantaran baginda bersabda: "berilah makan kepada orang miskin dan usaplah kepala anak yatim".

Atas dasar itulah pihak Yaumi sentiasa mencari jalan dan ruang untuk mengikuti anjuran rasulullah saw agar kami tidak termasuk kedalam golongan orang-orang yang tidak menjaga amanah Allah swt ini.

Maksud firman Allah: "Sebab itu, terhadap anak yatim janganlah kamu berlaku sewenang-wenang. Dan terhadap orang yang minta-minta, janganlah kamu mengherdiknya". (Dhuha: 9-10)

Berbalik kita kepada rehlah ke Melaka, Akibat kekurangan dana lawatan ini terpaksa ditangguhkan beberapa kali dan akhirnya ada dermawan yang telah sudi menghulurkan sumbangan untuk membayar sewaan bas, makan-minum, tiket masuk ke Taman Buaya dan juga tiket menaiki menara Taming Sari.


Dr(H) Mahani sedang berbincang dengan dua orang sukarelawan Yaumi di ruang legar Taman Buaya


Anak-anak Yaumi sedang beratur untuk membeli tiket masuk ke Taman Buaya

Tuan punya bas pula telah bermurah hati dengan sekadar mengambil kos minyak dan tol sahaja. Rombongan kami kali ini terdiri dari 6 orang ibu tunggal, 5 orang sukarelawan Yaumi dan 33 orang anak yatim/asnaf. Rombongan bertolak dari Paroi pada jam 9.00 pagi dan tiba di Taman Buaya Melaka pada jam 10.15 pagi. Setelah membeli tiket, anak-anak Yaumi yang sudah tidak sabar lagi terus saja menyerbu masuk ke dalam Taman Buaya.


"Besar betul buaya ni ya" kata salah seorang anak Yaumi kepada kawannya


Seronok dapat merasai pengalaman memegang anak ular sawa


Antara acara yang ditunggu-tunggu oleh para pengunjung ialah pertunjukkanbermain dengan buaya

Selain dari dapat melihat berbagai spesis buaya yang terdapat disitu kami juga berpeluang untuk mandi-mandi di kolam mandi, bermain dengan anak ular sawa, melihat pertunjukkan buaya, masuk rumah hantu dan menaiki keretapi mini.


Peserta rombongan Yaumi bergambar beramai ramai di hadapan pintu masuk ke Taman Buaya sebelum bertolak ke Bandar Hilir

Setelah solat zohor dan ma
kan tengahari (yang kami bawa bekal dari Seremban), rombongan Yaumi meneruskan perjalanan ke pusat perlancongan Bandar Hilir Melaka. Selepas melawat kota A Famosa dan sempat memanjat bukit St Paul kami membawa anak-anak Yaumi untuk merasai pengalaman menaiki menara Taming Sari pula. Rombongan kami bertolak balik ke Seremban pada Jam 6.30 petang.


Kelihatan salah seorang sukarelawan Yaumi sedang mengarahkan anak-anak supaya
membuat dua barisan untuk menunggu giliran naik ke menara Taming Sari



Keriangan jelas terpancar di wajah anak-anak Yaumi kerana dapat merasai
pengalaman menaiki menara Taming Sari yang berpusing-pusing


Sunday, December 12, 2010

Menghadri Seminar Rahsia Pelajar Juara Dan Lawatan Ke Zoo Negara

Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah swt kerana telah merezekikan kami untuk menghadiri seminar Rahsia Pelajar Juara dan melawat Zoo Negara pada 12 Disember 2010. Alhamdulillah masih ada hamba Allah yang perihatin terhadap golongan miskin dan berpendapatan rendah yang telah sudi menaja kos pengangkutan dan yuran seminar tersebut. Rombongan YAUMI terdiri daripada 5 orang ibu tunggal, 6 orang sukarelawan YAUMI dan 25 orang anak-anak asnaf.


Peserta seminar sedang khusuk mendengar ceramah


Sebahagian dari anak-anak YAUMI yang meghadiri seminar Rahsia pelajar Juara

Rombongan kami bertolak dari Pangsapuri Rakyat Seri Perdana Paroi, Seremban seawal jam 7.30 pagi dan tiba di Hotel De Palma, Ampang dimana lokasi seminar tersebut diadakan pada jam 8.15 pagi. Program yang berlangsung selama 5 jam itu berjaya membuka minda para peserta tentang kelemahan diri, sikap negetif serta kesilapan teknik belajar yang membawa kepada kegagalan dalam pelajaran. Dr Niki Shuhada Shukor selaku pengendali seminar tersebut banyak menekankan rahsia potensi diri yang selama ini tersembunyi dan gagal dimenafaatkan oleh para pelajar. Manakala penampilan "Ikon Matematik Malaysia" Adi Putra telah menambah semangat para peserta untuk berjaya dalam pelajaran. Rata-rata peserta amat terpesona dengan kebolehan Adi Putra menyelesaikan masalah matematik dengan cepat dan tersendiri.


Beratur untuk masuk ke dalam zoo


Sedang mengisi borang menjadi ahli Zoo Negara

Setelah tamat seminar kira-kira pada jam 1.30 petang, peserta YAUMI solat zohor di surau hotel tersebut. Setelah selesai menjamu selera dengan bekalan nasi dan lauk yang dibawa kami terus menuju ke Zoo Negara. Para peserta kelihatan amat gembira dan teruja untuk masuk ke dalam zoo kerana ada diantara mereka tidak pernah masuk ke dalam zoo sebelum ini. Alhamdulillah pihak Zoo Negara telah memberi kebenaran kepada kami masuk ke dalam zoo tanpa bayaran setelah mendaftar sebagai Ahli Zoo Negara. Bayangkanlah kalau kena bayar tiket, jumlah bayaran kesemuanya mungkin mencecah RM500.00 dan sudah tentu ramai dari anak-anak YAUMI tidak akan dapat memasuki zoo kerana mereka tidak mampu membeli tiket.


Anak-anak YAUMI berposing sakan.....gembira dapat masuk zoo



Kami memasuki zoo agak lewat iaitu sekitar jam 4.30 petang. Disebabkan masa yang agak terhad kami tidak berkesempatan untuk melihat kesemua bahagian zoo tersebut. Walaubagaimanapun rata-rata
peserta YAUMI merasa amat gembira dapat melihat bermacam jenis haiwan yang dipamerkan dalam Zoo Negara.


Bergambar beramai-ramai sebelum pulang

Monday, May 17, 2010

Mengikuti Majlis Renungan dan Ceramah Anjuran ESQ Training

Pada 5 September 2009 bersamaan dengan 15 ramadhan 1430 Hijrah seramai 40 orang ahli Yaumi yang terdiri dari 12 orang dewasa dan 28 orang remaja telah menghadiri majlis renungan ESQ Training yang telah diadakan di dewan utama Menara MATRADE, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Majlis bermula pada jam 5.00 petang dimana para remaja yaumi telah diberi peluang untuk mengikuti training ESQ Teens manakala anak-anak Yaumi yang berumur 12 tahun kebawah pula mengikuti training ESQ Kids di dewan kursus yang berasingan.
Setelah masuk waktu maghrib para remaja yaumi berbuka puasa bersama peserta kursus dan trainer dan diikuti dengan solat maghrib berjemaah.

Setelah selesai solat Isyak dan solat terawih yang dipimpin oleh seorang imam jemputan khas, majlis diteruskan dengan tazkirah ramadhan yang telah disampaikan oleh YB Dato' Hj Zainal Abidin Hj Sakom(Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan). Di ikuti oleh majlis renungan yang disampaikan oleh Trainer ESQ.




Remaja lelaki Yaumi khusuk mendengar ceramah yang disampaikan
Ust Hanafi yang dijemput khas oleh pihak ESQ.





Para remaja kelihatan ceria dan bersemangat dalam mengikuti
setiap gerak laku yang dilakukan oleh trainer ESQ



Remaja wanita Yaumi juga berpeluang untuk 'merasai' suasana training ESQ teens.



Waktu berbuka tiba.... anak-anak Yaumi berbuka puasa bersama abang ATS esq



Selesai solat maghrib, anak-anak Yaumi diraikan dengan
jamuan lazat oleh pihak ESQ




Telah menjadi budaya dalam ESQ training sebelum program bermula para peserta
akan bersalam secara 'salam semut' untuk mengeratkan ukhuwah sesama peserta.



Para hadirin sedang khusuk mendengar tazkirah ramadhan yang disampaikan
oleh penceramah jemputan esq iaitu YB Dato' Hj Zainal Abidin Hj Sakom.

Menyuntik Semangat Jati Diri Dan Kesedaran Islam Melalui ESQ Training


Yaumi bukan sahaja berusaha untuk menjaga kebajikan anak yatim dan anak asnaf melalui sumbangan kewangan, barangan maupun keperluan makanan sahaja tetapi kami juga amat mementingkan pembangunan sahsiah diri para remaja Yaumi agar mereka memiliki sikap berdikari, akhlak yang mulia serta kesedaran Islam yang tinggi.

Tanpa sifat-sifat yang penting ini dikuatiri mereka mudah dipengaruhi oleh anasir yang negetif seperti lepak, penyalahgunaan dadah, minum arak, pergaulan bebas dan berbagai aktiviti yang menyalahi undang-undang serta hukum Islam.
Dengan meningkatnya statistik jenayah dan gejala pembuangan bayi di tengah masyarakat maka sudah menjadi kemestian setiap remaja dibekalkan dengan ilmu motivasi diri demi menjauhkan mereka dari masalah sosial ini.


Oleh itu Yaumi telah mengambil langkah untuk meningkatkan motivasi diri kepada ahlinya melalui kursus-kursus motivasi yang dianjurkan oleh ESQ Training Leadership. Sehingga kini pihak Yaumi telah berjaya menghantar seramai 80 orang ahli Yaumi yang terdiri dari 4 orang wargaemas, 10 orang ibu tunggal, 57 orang remaja dan kanak-kanak termasuk 17 orang pelajar Pusat Tahfiz An Najihah, Nilai serta 9 orang dewasa.

Pihak Yaumi mengucapkan ribuan terima kasih kepada individu dan syarikat koperat yang telah sudi menaja segala perbelanjaan serta yuran kursus tersebut. Tidak lupa juga kepada pihak ESQ Training Malaysia sendiri yang menawarkan yuran yang istimewa kepada ahli Yaumi.


Alhamdulillah, hasil dari didikan ESQ Way 165 ini telah menampakkan peningkatan didalam pengamalan syariat Islam dikalangan ahli Yaumi dimana para remaja lebih menghormati orang tua(khususnya kedua ibu bapa mereka), lebih istiqomah dalam menunaikan solat lima waktu dan kaum wanitanya lebih berwaspada dalam bab menutup aurat mereka. Lebih membangga lagi seramai lima anak Yaumi telah memilih untuk meneruskan pengajian mereka di pusat tahfiz di Nilai dan di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Adalah diharapkan mereka inilah yang akan meneruskan perjuangan Yaumi setelah tamat dari pengajian mereka dibidang pengajian Islam tersebut.
Semoga mereka akan menjadi model dan contoh kepada rakan-rakan yang lain serta dapat memimpin ahli keluarga mereka kearah menjadi keluarga yang berjaya di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.