Wednesday, December 15, 2010

Lawatan Ke Taman Buaya dan Bandar Hilir Melaka

(Makluman:Lawatan rehlah ini telah dilakukan pada tahun 2009 tetapi atas sebab-sebab teknikal, lapurannya baru dapat diupload. Harap maaf).

Pada 16 Disember 2009 YAUMI telah melakukan lawatan rehlah ke negeri Melaka Bandaraya Bersejarah. Tujuan lawatan ini adalah untuk merapatkan hubungan sesama peserta-peserta dan sukarelawan YAUMI sambil menghiburkan anak yatim/anak asnaf. Amalan memberi makan serta menggembirakan anak yatim dan orang miskin sangat-sangat dianjurkan oleh rasulullah saw.

Dalam riwayat Imam Ahmad daripada Abu Hurairah: Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah mengadu mengenai hatinya yang keras, lantaran baginda bersabda: "berilah makan kepada orang miskin dan usaplah kepala anak yatim".

Atas dasar itulah pihak Yaumi sentiasa mencari jalan dan ruang untuk mengikuti anjuran rasulullah saw agar kami tidak termasuk kedalam golongan orang-orang yang tidak menjaga amanah Allah swt ini.

Maksud firman Allah: "Sebab itu, terhadap anak yatim janganlah kamu berlaku sewenang-wenang. Dan terhadap orang yang minta-minta, janganlah kamu mengherdiknya". (Dhuha: 9-10)

Berbalik kita kepada rehlah ke Melaka, Akibat kekurangan dana lawatan ini terpaksa ditangguhkan beberapa kali dan akhirnya ada dermawan yang telah sudi menghulurkan sumbangan untuk membayar sewaan bas, makan-minum, tiket masuk ke Taman Buaya dan juga tiket menaiki menara Taming Sari.


Dr(H) Mahani sedang berbincang dengan dua orang sukarelawan Yaumi di ruang legar Taman Buaya


Anak-anak Yaumi sedang beratur untuk membeli tiket masuk ke Taman Buaya

Tuan punya bas pula telah bermurah hati dengan sekadar mengambil kos minyak dan tol sahaja. Rombongan kami kali ini terdiri dari 6 orang ibu tunggal, 5 orang sukarelawan Yaumi dan 33 orang anak yatim/asnaf. Rombongan bertolak dari Paroi pada jam 9.00 pagi dan tiba di Taman Buaya Melaka pada jam 10.15 pagi. Setelah membeli tiket, anak-anak Yaumi yang sudah tidak sabar lagi terus saja menyerbu masuk ke dalam Taman Buaya.


"Besar betul buaya ni ya" kata salah seorang anak Yaumi kepada kawannya


Seronok dapat merasai pengalaman memegang anak ular sawa


Antara acara yang ditunggu-tunggu oleh para pengunjung ialah pertunjukkanbermain dengan buaya

Selain dari dapat melihat berbagai spesis buaya yang terdapat disitu kami juga berpeluang untuk mandi-mandi di kolam mandi, bermain dengan anak ular sawa, melihat pertunjukkan buaya, masuk rumah hantu dan menaiki keretapi mini.


Peserta rombongan Yaumi bergambar beramai ramai di hadapan pintu masuk ke Taman Buaya sebelum bertolak ke Bandar Hilir

Setelah solat zohor dan ma
kan tengahari (yang kami bawa bekal dari Seremban), rombongan Yaumi meneruskan perjalanan ke pusat perlancongan Bandar Hilir Melaka. Selepas melawat kota A Famosa dan sempat memanjat bukit St Paul kami membawa anak-anak Yaumi untuk merasai pengalaman menaiki menara Taming Sari pula. Rombongan kami bertolak balik ke Seremban pada Jam 6.30 petang.


Kelihatan salah seorang sukarelawan Yaumi sedang mengarahkan anak-anak supaya
membuat dua barisan untuk menunggu giliran naik ke menara Taming Sari



Keriangan jelas terpancar di wajah anak-anak Yaumi kerana dapat merasai
pengalaman menaiki menara Taming Sari yang berpusing-pusing


Sunday, December 12, 2010

Menghadri Seminar Rahsia Pelajar Juara Dan Lawatan Ke Zoo Negara

Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah swt kerana telah merezekikan kami untuk menghadiri seminar Rahsia Pelajar Juara dan melawat Zoo Negara pada 12 Disember 2010. Alhamdulillah masih ada hamba Allah yang perihatin terhadap golongan miskin dan berpendapatan rendah yang telah sudi menaja kos pengangkutan dan yuran seminar tersebut. Rombongan YAUMI terdiri daripada 5 orang ibu tunggal, 6 orang sukarelawan YAUMI dan 25 orang anak-anak asnaf.


Peserta seminar sedang khusuk mendengar ceramah


Sebahagian dari anak-anak YAUMI yang meghadiri seminar Rahsia pelajar Juara

Rombongan kami bertolak dari Pangsapuri Rakyat Seri Perdana Paroi, Seremban seawal jam 7.30 pagi dan tiba di Hotel De Palma, Ampang dimana lokasi seminar tersebut diadakan pada jam 8.15 pagi. Program yang berlangsung selama 5 jam itu berjaya membuka minda para peserta tentang kelemahan diri, sikap negetif serta kesilapan teknik belajar yang membawa kepada kegagalan dalam pelajaran. Dr Niki Shuhada Shukor selaku pengendali seminar tersebut banyak menekankan rahsia potensi diri yang selama ini tersembunyi dan gagal dimenafaatkan oleh para pelajar. Manakala penampilan "Ikon Matematik Malaysia" Adi Putra telah menambah semangat para peserta untuk berjaya dalam pelajaran. Rata-rata peserta amat terpesona dengan kebolehan Adi Putra menyelesaikan masalah matematik dengan cepat dan tersendiri.


Beratur untuk masuk ke dalam zoo


Sedang mengisi borang menjadi ahli Zoo Negara

Setelah tamat seminar kira-kira pada jam 1.30 petang, peserta YAUMI solat zohor di surau hotel tersebut. Setelah selesai menjamu selera dengan bekalan nasi dan lauk yang dibawa kami terus menuju ke Zoo Negara. Para peserta kelihatan amat gembira dan teruja untuk masuk ke dalam zoo kerana ada diantara mereka tidak pernah masuk ke dalam zoo sebelum ini. Alhamdulillah pihak Zoo Negara telah memberi kebenaran kepada kami masuk ke dalam zoo tanpa bayaran setelah mendaftar sebagai Ahli Zoo Negara. Bayangkanlah kalau kena bayar tiket, jumlah bayaran kesemuanya mungkin mencecah RM500.00 dan sudah tentu ramai dari anak-anak YAUMI tidak akan dapat memasuki zoo kerana mereka tidak mampu membeli tiket.


Anak-anak YAUMI berposing sakan.....gembira dapat masuk zoo



Kami memasuki zoo agak lewat iaitu sekitar jam 4.30 petang. Disebabkan masa yang agak terhad kami tidak berkesempatan untuk melihat kesemua bahagian zoo tersebut. Walaubagaimanapun rata-rata
peserta YAUMI merasa amat gembira dapat melihat bermacam jenis haiwan yang dipamerkan dalam Zoo Negara.


Bergambar beramai-ramai sebelum pulang