Monday, January 24, 2011

Secebis Kisah Yang Ku Temui Di Sekeliling Ku.

Anak-anak Yaumi sedang tekun mendengar pesanan dan tarbiyah yang disampaikan oleh Umi

Pernah disuatu hari ketika aku berjalan-jalan disini lalu aku terserempak dengan seorang anak kecil yang agak kurus badannya sedang menjinjing sebuah bungkusan plastik. Lalu aku bertanya kepada anak kecil itu apa yang dibawanya. Lalu dia menjawab dia membawa sedikit beras yang baru dibelinya dari kedai runcit berdekatan. Aku anggarkan beras itu hanya dalam berat 1 kilo. Katanya sebanyak itu sahajalah yang mampu dibeli oleh keluarganya yang seramai enam orang, bila habis.. beli lagi 1 kilo. Begitulah miskinnya keluarga ini, ibarat kais pagi makan pagi,kais petang makan petang.

Dihari yang lain aku melintasi sebuah rumah yang penghuninya ku tahu adalah salah seorang anak yaumi. Ku lihat rumahnya masih gelap tidak dinyalakan lampu sedangkan hari semakin gelap. lalu aku bertanya kepada anak itu, mengapa tidak dinyalakan lampu? Lalu dia menjawab bahawa rumahnya sudah seminggu bekalan elektrik dipotong kerana ayahnya tidak mampu membayar bil. Katanya lagi ayahnya kebelakangan ini tidak dapat bekerja kerana mengidap sakit jantung. Lalu aku meminta bil elektrik rumahnya agar dapat aku mohon bantuan dari pihak baitulmal supaya rumah mereka dapat diterangi cahaya lampu kembali.

Disuatu ketika yang lain pula, aku didatangi oleh seorang ibu tua yang kelihatan kurus tubuhnya,cengkung rongga matanya datang mengadu bahawa rumahnya sudah kehabisan beras untuk dimakan. Lalu aku membawanya ke pejabat baitulmal untuk memohon bantuan segera untuk membeli barangan makanan. Kasihan si ibu tua ini, dalam usianya yang semakin lanjut hidupnya terpaksa bergantung hidup kepada bantuan dari baitulmal dan kebajikan masyarakat. Seorang anak lelakinya mengalami masalah mental, seorang lagi mengalami masalah ketagihan dadah, manakala anak perempuannya yang sudah berkahwin pula hidup dalam kemiskinan juga. Inilah secebis kisah yang sering ku temui disekelilingku. Aku bersyukur kepada Allah swt, walaupun aku tidak kaya, hidupku tidaklah sesukar mereka.


Anak-anak kecil adalah seumpama kain putih, bagaimanakah rupa bentuk mereka dimasa akan
datang adalah bergantung kepada bagaimana gaya kita mencorakkan mereka diwaktu kecil

Ada waktu-waktunya dikala pihak Yaumi tiada peruntukan kewangan untuk membawa anak-anak ini keluar berjalan-jalan atau mengikuti mana-mana rombongan, namun program tarbiyah, latihan nasyid dan brainstorming tetap juga dijalankan. Kerana kalau ini tidak dilakukan secara istiqomah maka mereka ini remaja yang sedang membesar akan cepat hilang arah dan mudah terikut-ikut dengan pengaruh di sekeliling yang lebih menjurus kearah negetif. Kadang-kadang tarbiyah diadakan ditepi tasik, kekadang di serambi masjid dan selalunya di rumah pengasas Yaumi saja.



Kelihatan dibelakang tasik ini barisan rumah-rumah pangsa yang
menjadi rumah kediaman kepada sebahagian besar anak-anak Yaumi

Berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesanlah dengan kesabaran.

Bersabda Rasulullah s.a.w:


“Perumpamaan orang-orang Mu’min dalam saling kasih-mengasihi dan sayang-menyayangi, laksana sebatang tubuh, bila salah satu anggotanya mengaduh sakit, seluruh anggota yang lain sama-sama merasa demamnya dan berjaga malam.”


"Bukanlah dari golongan kami, siapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihani anak kecil kami."

Sabdanya lagi:


“Di antara amalan-amalan yang paling disukai oleh Allah s.w.t ialah menimbulkan kegembiraan dalam hati seorang Mu’min, melapangkan kesusahannya, menunaikan hutangnya atau memberinya makan waktu lapar.”