Wednesday, November 7, 2012

Majlis Berbuka Puasa Bersama Penduduk Taman Tasik Jaya Dan Sumbangan Naskhah Al Quraan

Pada 15 Ogos 2012 yang lalu pihak Yaumi telah dijemput untuk berbuka puasa bersama-sama penduduk Taman Tasik Jaya, Seremban, Negeri Sembilan. Majlis telah diadakan di surau Tmn Tasik Jaya. Disamping majlis berbuka puasa pihak ajk surau juga telah mengadakan majlis khatam alquran dan mengagihkan naskhah alquran kepada penduduk miskin dan pelajar. Rombongan kami seramai 50 orang tiba dengan menaiki  bas sewa khas di perkarangan surau berkenaan pada jam 6.00 petang.
Program bermula dengan bacaan tahlil dan diikuti dengan berbuka puasa.

Setelah selesai solat maghrib berjemaah, acara khatam alquran yang dipimpin oleh tuan imam surau tersebut bermula. Anak-anak Yaumi turut mengambil bahagian membaca alquran secara beramai-ramai. Setelah solat Isyak dan berterawih, acara mengagihkan naskah alquran telah dilakukan oleh pengerusi surau. Pihak Yaumi telah menerima sebanyak 280 naskhah alquran pada malam tersebut dan telahpun diedarkan kepada orang ramai yang memerlukannya. Diakhir majlis anak-anak Yaumi telah mempersembahkan beberapa buah nasyid untuk menghiburkan para hadirin. Program tamat pada jam 10.30 malam dan pihak Ajk surau berhasrat untuk menjemput lagi pihak Yaumi pada program-program anjuran surau berkenaan pada masa akan datang.


Rombongan Yaumi tiba di Surau Taman Tasik Jaya, Seremban



Salah seorang wargaemas Yaumi yang ikut serta

Mengambil juadah untuk berbuka puasa

Anak-anak Yaumi menikmati hidangan buka puasa

Solat Maghrib berjemaah bersama ahli khariah surau

Majlis khatam alquran dipimpim oleh tuan imam surau


Kaum ibu turut sama mengambil bahagian khatam alquran

 Acara menyampaikan sumbangan duit raya dan naskhah alquran

Anak-anak Yaumi mempersembah nasyid




Majlis Berbuka Puasa Anjuran Yaumi Di Tmn Tasik Jaya

Pada 10 Ogos 2012 Pihak Yaumi telah mengadakan majlis berbuka puasa dan solat berjemaah di rumah puan Zuraidah yang terletak di Taman Tasik Jaya. Puan Zuraidah dan suaminya encik Yahya adalah merupakan sukarelawan Yaumi. Mulanya dicadangkan untuk mengadakan majlis ini di Pangsapuri Seri Perdana, Paroi tetapi memandang tiada tempat untuk melakukan solat berjemaah maka puan Zuraidah telah bermurah hati menawarkan rumah beliau. Seramai 25 orang anak-anak Yaumi telah ikut serta dan dibantu oleh 5 orang sukarelawan Yaumi. Anak-anak Yaumi telah diangkut dengan 3 buah kereta dari Pangsapuri Seri Perdana ke rumah puan Zuraidah. Pihak Yaumi sedang berusaha untuk mendapatkan sebuah van bagi memudahkan urusan pengangkutan anak-anak Yaumi dalam memenuhi jemputan dari orang ramai atau untuk mengikuti kursus-kursus anjuran pusat motivasi atau lain-lainnya.

 Majlis dimulakan dengan sedikit taaruf dari pihak tuan rumah dan juga pihak yaumi. Kemudian kami bersama-sama menyediakan makanan untuk berbuka puasa. Setelah berbuka dan solat maghrib berjemaah, encik Yahya telah memberi tazkirah kepada kami semua. Setelah selesai solat Isyak dan terawih, puan Zuraidah telah memberi sedikit cenderahati dan duit raya. Majlis bersurai pada jam 10.00pm



Sukarelawan Yaumi membantu menyedia juada berbuka puasa


Majlis taaruf dan tahlil diadakan sementara menunggu azan maghrib




Umi meyampaikan tazkirah serta kata nasihat kepada anak-anak Yaumi
Pn Siti selaku sukarelawan Yaumi meyampaikan cenderahati kepada anak-anak Yaumi


Puan Zuraidah menghulurkan sedikit duit raya


Dr(H) Ruslan mengimamkan solat maghrib berjemaah


Encik Yahya selaku tuan rumah menyampai "bayan" kepada peserta majlis


Ceria bersama selepas bergambar sejurus tamat majlis
Bergaya Sakan anak puteri Yaumi


Monday, November 5, 2012

Majlis Berbuka Puasa Bersama Maahad Tahfiz An Najihah, Kg Jijan, Nilai, N.Sembilan


Maahad Tahfiz Alquran An Najihah pimpinan Ustaz Zawawi Hj Aman yang terletak di Kg Jijan, Nilai, N.Sembilan ini adalah tidak asing bagi pihak Yaumi kerana lima dari anak-anak Yaumi pernah belajar disini. Walau pun mereka tidak sempat menamatkan 30 juz alquran ketika menimba ilmu disini tetapi pengalaman belajar disini sedikit sebanyak telah berjaya menyemaikan semangat berdikari dan cintakan alquran dihati mereka.Pada 12/8/2012 pihak Yaumi telah dijemput oleh yang berbahagia mudir maahad tahfiz tersebut iaitu ustaz Zawawi untuk sama-sama berbuka puasa dan berterawih disana.

Ada beberapa orang ibu tunggal yang berhasrat untuk menghantar anak-anak mereka untuk belajar tahfiz disini tetapi disebabkan tidak mampu untuk membayar yuran pengajian sebanyak RM400 sebulan menyebabkan hasrat itu terpendam sahaja. Disini pihak Yaumi menyeru mana individu maupun badan korporat yang ingin membuat jariah agar dapat tampil untuk menjadi penaja kepada anak-anak Yaumi yang berminat untuk belajar di pusat tahfiz ini. Pusat tahfiz An Najihah juga mengadakan kursus fardhu ain dan praktikal amal ibadah kepada pelajar yang berumur diantara 9 hingga 15 tahun pada setiap cuti persekolahan hujung tahun.



Rombongan kami tiba di Maahad Tahfiz Al quran An Najihah pada jam 5.30pm

Puteri-puteri Yaumi memasuki perkarangan pusat tahfiz



Mudirnya Ustaz Zawawi menyampaikan taklimat tentang perkembangan maahad tahfiz Annajihah

Penceramah jemputan Al fadhil Ustaz Hj Hasyim Ahmad menyampaikan ceramah yang bertajuk 'Kemulian Ramadhan"

Kelihatan surau yang masih dalam pembinaan. Sumbangan dari para dermawan amat dialu-alukan.

DR(H) Mahani sedang membantu menyediakan juadah berbuka puasa

Ifttar time!

Ustaz Zawawi mengimamkan solat Isyak dan seterusnya solat terawih


Tiba kembali ke tempat kediaman pada jam 11.30pm







Sunday, September 9, 2012

Restoren Teratai Seremban 2 Meraikan Anak-anak YAUMI


 Pada 8hb Ogos 2012 bersamaan dengan 20 ramadhan 1433H pihak pegurusan Restoren Teratai yang terletak di Seremban 2 telah sudi meraikan anak-anak Yaumi dengan jamuan berbuka puasa. Pengurus restoren tersebut iaitu encik Kamar Azman amat perihatin kepada golongan miskin dan ibu tunggal. Beliau telah menyatakan hasrat beliau untuk meraikan golongan miskin ini kepada seorang kawan karibnya iaitu encik Idris Said yang juga salah seorang kenalan pengasas Yaumi Dr(H) Mahani. Lantas encik Idris yang menjalankan perniagaan menyewa peralatan PA sistem dan juga selaku 'event organiser' menghubungi umi untuk menampaikan hasrat kawan baik itu.Bagai pucuk dicita ulam mendatang, tawaran itu disambut dengan rasa penuh kesyukuran oleh pihak Yaumi. Lalu pada jam 5.00pm sebuah bas telah datang ke Pangsapuri Seri Perdana untuk menjemput kami.


 Umi memulakan majlis dengan ucapan alu-aluan dan nasihat kepada
anak-anak Yaumi dan para hadirin

 Encik Idris memimpin bacaan selawat dan zikir istighfar bersama hadirin
sementara menunggu masuk waktu berbuka



 Puan Zana selaku sukarelawan Yaumi membantu meyeduk nasi
kepada anak-anak Yaumi




 Ahli AJK surau berdekatan juga dijemput untuk bersama-sama
berbuka puasa di majlis tersebut
Puan Seti Maimunah melayan remaja puteri Yaumi menikmati hidangan


Dari kanan: Encik Idris, Dr(H)Ruslan dan Encik Kamar Azman

Solat Maghrib di surau berdekatan dengan Restoren Teratai


Putera-puteri Yaumi menghiburkan para hadirin dengan mengalunkan 3 buah nasyid


Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Dr(H)Mahani. Beliau mengajak para hadirin untuk sama-sama meningkatkan takwa kepada Allah swt dan membanyakkan amalan ibadah terutamanya bersedekah kerana dibulan ramadhan ini Allah akan menggandakan pahala orang-orang yang beribadah dengan berlipat kali ganda berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Seterusnya majlis diisi dengan bacaan selawat keatas nabi saw serta zikir istighfar yang dipimpin oleh encik Idris. Selepas berbuka, solat maghrib berjemaah di surau berdekatan para hadirin dihiburkan dengan alunan tiga buah nasyid oleh putera-puteri Yaumi. Pihak Yaumi mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengurus restoren encik Kamar Azman diatas kesudian beliau untuk menundang kami semua.


Anak-anak putera Yaumi bersalaman dengan encik KamarAzman sebelum pulang


"A thorn among the roses" Para sukarelawan Yaumi ceria bergambar bersama encik KamarAzman

Bergambar beramai-ramai sebelum naik bas untuk balik kerumah


















Friday, September 7, 2012

Majlis Berbuka Puasa Anjuran Kastam Seremban Ramadhan 2012


 Bulan ramadhan adalah bulan yang penuh berkat. Kedatangannya saban tahun amat dinantikan oleh seluruh kaum muslimin diserata dunia. Pahala amalan dibulan ini digandakan oleh Allah berlipat kali ganda. Dibulan ini juga terdapat suatu malam yang terlebih baik dari seribu bulan..itulah dia malam Lailatulqadar. Bersempena dengan kedatangan bulan ramadhan 1433 hijrah pihak Yaumi telah menerima banyak jemputan untuk berbuka puasa dan penyampaian bantuan untuk anak asnaf, anak yatim dan golongan ibu tunggal dan warga emas miskin. Pertamanya yang sudi menjemput kami kali ini ialah pihak Ibupejabat Kastam Diraja Malaysia Seremban, Negeri Sembilan.Majlis berbuka puasa ini telah diadakan pada 31/7/2012. Pihak kastam telah menjemput kami yang seramai 45 orang dengan menaiki bas kastam dari perkarangan Pangsapuri Seri Perdana, Paroi pada jam 5.30pm. Rombongan kami terdiri dari 10 orang warga emas, 10 orang ibu tunggal, 20 orang anak yatim dan anak asnaf serta diiringi oleh 5 orang sukarelawan Yaumi.
 

Timbalan Ketua Pengarah Kastam(Perkastaman/Cukai Dalam Negeri) Dato' Shaharudin Bin Ibrahim

Pengarah Kastam Seremban iaitu Tuan Syed Mohri Bin Syed Abu Bakar


Anak-anak Yaumi tekun mendengar ucapan 

 Majlis bermula pada jam 6.00pm dengan dimulai dengan kata aluan oleh Pengarah Kastam Seremban iaitu Tuan Syed Mohri Bin Syed Abu Bakar, kemudian disusuli pula oleh ucapan Timbalan Ketua Pengarah Kastam(Perkastaman/Cukai Dalam Negeri) Dato' Shaharudin Bin Ibrahim dan sterusnya beliau merasmikan majlis berbuka puasa. Acara diteruskan dengan penyampaian sumbangan kepada anak yatim/anak asnaf, ibu tunggal dan warga emas Yaumi yang telah disampaikan oleh Dato' Shaharudin Bin Ibrahim. Sementara menunggu masuknya waktu berbuka puasa majlis telah diisi dengan sedikit tazkirah serta alunan bacaan Alquran oleh salah seorang pegawai kastam Seremban.

Ibu tunggal Yaumi
Sebahagian dari Warga emas Yaumi
Dr(H) Mahani atau Umi sedang menerima cenderahati dari Timbalan Ketua Pengarah Kastam
Puan Amrah mewakili warga emas Yaumi menerima sumbangan
Anak-anak Yaumi berbaris untuk menerima sumbangan

Tiba masanya waktu yang dinanti iftar
Selepas berbuka puasa kami telah bersolat maghrib berjemaah dengan para hadirin. Ini diikuti dengan solat Isyak dan solat terawih serta sedikit jamuan moreh. Pihak Yaumi mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Kastan Diraja Seremban diatas kesudian mereka menjemput Yaumi. Sumbangan duit yang diberi telah membantu mereka untuk membeli baju raya dan membuat persiapan raya.


Solat berjemaah selepas berbuka puasa
Keriangan jelas terpancar diwajah anak-anak Yaumi selepas majlis tersebut

Monday, January 24, 2011

Secebis Kisah Yang Ku Temui Di Sekeliling Ku.

Anak-anak Yaumi sedang tekun mendengar pesanan dan tarbiyah yang disampaikan oleh Umi

Pernah disuatu hari ketika aku berjalan-jalan disini lalu aku terserempak dengan seorang anak kecil yang agak kurus badannya sedang menjinjing sebuah bungkusan plastik. Lalu aku bertanya kepada anak kecil itu apa yang dibawanya. Lalu dia menjawab dia membawa sedikit beras yang baru dibelinya dari kedai runcit berdekatan. Aku anggarkan beras itu hanya dalam berat 1 kilo. Katanya sebanyak itu sahajalah yang mampu dibeli oleh keluarganya yang seramai enam orang, bila habis.. beli lagi 1 kilo. Begitulah miskinnya keluarga ini, ibarat kais pagi makan pagi,kais petang makan petang.

Dihari yang lain aku melintasi sebuah rumah yang penghuninya ku tahu adalah salah seorang anak yaumi. Ku lihat rumahnya masih gelap tidak dinyalakan lampu sedangkan hari semakin gelap. lalu aku bertanya kepada anak itu, mengapa tidak dinyalakan lampu? Lalu dia menjawab bahawa rumahnya sudah seminggu bekalan elektrik dipotong kerana ayahnya tidak mampu membayar bil. Katanya lagi ayahnya kebelakangan ini tidak dapat bekerja kerana mengidap sakit jantung. Lalu aku meminta bil elektrik rumahnya agar dapat aku mohon bantuan dari pihak baitulmal supaya rumah mereka dapat diterangi cahaya lampu kembali.

Disuatu ketika yang lain pula, aku didatangi oleh seorang ibu tua yang kelihatan kurus tubuhnya,cengkung rongga matanya datang mengadu bahawa rumahnya sudah kehabisan beras untuk dimakan. Lalu aku membawanya ke pejabat baitulmal untuk memohon bantuan segera untuk membeli barangan makanan. Kasihan si ibu tua ini, dalam usianya yang semakin lanjut hidupnya terpaksa bergantung hidup kepada bantuan dari baitulmal dan kebajikan masyarakat. Seorang anak lelakinya mengalami masalah mental, seorang lagi mengalami masalah ketagihan dadah, manakala anak perempuannya yang sudah berkahwin pula hidup dalam kemiskinan juga. Inilah secebis kisah yang sering ku temui disekelilingku. Aku bersyukur kepada Allah swt, walaupun aku tidak kaya, hidupku tidaklah sesukar mereka.


Anak-anak kecil adalah seumpama kain putih, bagaimanakah rupa bentuk mereka dimasa akan
datang adalah bergantung kepada bagaimana gaya kita mencorakkan mereka diwaktu kecil

Ada waktu-waktunya dikala pihak Yaumi tiada peruntukan kewangan untuk membawa anak-anak ini keluar berjalan-jalan atau mengikuti mana-mana rombongan, namun program tarbiyah, latihan nasyid dan brainstorming tetap juga dijalankan. Kerana kalau ini tidak dilakukan secara istiqomah maka mereka ini remaja yang sedang membesar akan cepat hilang arah dan mudah terikut-ikut dengan pengaruh di sekeliling yang lebih menjurus kearah negetif. Kadang-kadang tarbiyah diadakan ditepi tasik, kekadang di serambi masjid dan selalunya di rumah pengasas Yaumi saja.



Kelihatan dibelakang tasik ini barisan rumah-rumah pangsa yang
menjadi rumah kediaman kepada sebahagian besar anak-anak Yaumi

Berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesanlah dengan kesabaran.

Bersabda Rasulullah s.a.w:


“Perumpamaan orang-orang Mu’min dalam saling kasih-mengasihi dan sayang-menyayangi, laksana sebatang tubuh, bila salah satu anggotanya mengaduh sakit, seluruh anggota yang lain sama-sama merasa demamnya dan berjaga malam.”


"Bukanlah dari golongan kami, siapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihani anak kecil kami."

Sabdanya lagi:


“Di antara amalan-amalan yang paling disukai oleh Allah s.w.t ialah menimbulkan kegembiraan dalam hati seorang Mu’min, melapangkan kesusahannya, menunaikan hutangnya atau memberinya makan waktu lapar.”